Skip to main content

Perutusan Pengarah

sasa

DATO’ MOHD BASRI BIN ABDUL MANAF

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Salam Sejahtera;

Salam Malaysia Madani; dan

Salam Perak Sejahtera 2030.

Sebagai pembuka kalam, marilah sama-sama kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas pembangunan Laman Web Central Forest Spine (CFS) Negeri Perak Tahun 2024 ini. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah menyumbang idea dan khidmat dalam menghasilkan Laman Web CFS Negeri Perak ini.

Sepertimana sedia maklum, Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang bersidang kali ke-40 pada 20 Julai 2022 telah meluluskan secara dasar Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) 2022 baharu yang mengandungi 5 Objektif, 14 Strategi, 38 Tindakan dan 228 Inisiatif. PIRECFS 2022 tersebut adalah bertujuan untuk menghubungkan 8 kompleks hutan utama negara yang melibatkan 8 negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan juga Negeri Perak.

Bagi Negeri Perak, Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Perak Bil. 1/2022 telah meluluskan dengan menerimapakai PIRECFS 2022 di peringkat Negeri pada 22 Februari 2022. Selaras dengan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) selaku salah satu agensi pelaksana utama kepada PIRECFS 2022 telah menggerakkan aktiviti untuk mencapai tindakan dan inisiatif yang disasarkan dalam PIRECFS 2022 termasuk mempromosikan CFS Negeri Perak.

Pembangunan Laman Web CFS Negeri Perak merupakan salah satu tindakan yang selari dengan Tindakan 4.3a: Menyediakan Pelan Promosi PIRECFS. Laman web ini menjadi salah satu platform untuk perkongsian maklumat dan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan untuk memelihara, memulihara dan melindungi hutan khususnya di rangkaian ekologi CFS di Negeri Perak. Pengetahuan dan kesedaran masyarakat awam adalah penting bagi memastikan usaha-usaha untuk memelihara, memulihara dan melindungi hutan dapat diteruskan. Dengan adanya laman web CFS Negeri Perak ini, perkongsian maklumat antara agensi pelaksana dan agensi sokongan serta pemegang taruh akan berkekalan dan menjadi rujukan dan panduan kepada pihak berkepentingan.